Wanita Jepun didenda RM2,000 kerana buat laporan palsu kononnya dirogol 5 lelaki Afrika secara bergilir-gilir



Seorang penuntut kolej swasta warga Jepun didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini kerana membuat laporan polis palsu kononnya disamun dan dirogol sekumpulan lelaki Afrika.


Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu terhadap Ageha Matsuzaki, 20, setelah wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan tertuduh diperintahkan dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Matsuzaki membayar denda itu.


Dia didakwa memberikan maklumat secara bertulis kepada seorang polis yang tertuduh mengetahui ia adalah palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Seri Kembangan di sini, pada 12.30 tengah hari, 2 Feb lalu, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.


Peguam Mustaqeem Aziz yang mewakili Matzuzaki memohon hukuman ringan atas alasan pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah dan kesalahan yang dilakukan memberi pengajaran kepada anak guamnya.


Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Wafi Husain memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyusahkan banyak pihak terutama polis dan dia hanya mengaku membuat laporan polis palsu selepas dua minggu pegawai penyiasat melakukan siasatan.


Berdasarkan fakta kes, dalam laporan polis yang dibuat, wanita itu menyatakan bahawa ketika berjalan di hadapan sebuah apartment pada 8 malam, 1 Feb lalu, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah belakang dan berhenti di tepinya.


Laporan polis itu menyebut seramai lima atau enam lelaki warga Afrika turun dari kereta terbabit dan memaksa wanita berkenaan mengikut mereka dan salah seorang daripada lelaki itu mengacukan pisau sebelum wanita itu dipukul serta dirogol oleh empat atau lima lelaki secara bergilir-gilir manakala kad kredit (Japanese Visa) dan wang RM100 turut diambil.


Bagaimanapun, setelah siasatan dilakukan wanita itu mengaku memberikan laporan palsu dan tiada sebarang bukti atau kejadian rogol seperti dinyatakan.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.