'Terlalu ramai hentam, saya nak rehat dari media sosial' - Kak Long 7E nafi ejek golongan OKU

Foto e-Kesah


Bagaikan tidak belajar dari kesilapan lalu, Kak Long 7E atau nama sebenar Wan Nor Baizura, sekali lagi dikecam teruk oleh netizen gara-gara memuat naik video dirinya berkelakuan seperti Orang Kurang Upaya (OKU) yang dianggap sebagai mengejek golongan berkenaan. 


Berdasarkan video tersebut, Kak Long 7E dilihat berjalan dengan gaya tempang dan melakukan mimik muka yang mempersendakan golongan berkenaan. 


Kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, seorang jurutera tampil membuat laporan polis. Khairull Hafiz Ismail, 42, berkata pihak berkuasa harus mengambil tindakan terhadap wanita itu yang jelas sekali menghina golongan OKU. 


"Saya berasa tidak berpuas hati dengan tindakan wanita itu kerana ia adalah satu penghinaan kepada OKU. Laporan polis dibuat sebagai satu peringatan kepada kita semua supaya saling menghormati dan tidak menghina bukan sahaja terhadap golongan OKU, tetapi antara satu sama lain," katanya. 



Turut tampil membuat laporan polis, Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota (POKUAT) yang berpendapat tindakan Kak Long itu tidak sensitif terhadap perasaan golongan OKU. 


"Tindakan wanita terbabit yang tidak sensitif terhadap perasaan OKU mengakibatkan timbulnya rasa marah apabila kami dihina oleh seseorang yang semata-mata ingin meningkatkan popularitinya di media sosial," kata Presiden POKUAT, Fakhruddin Zakaria. 


Sedar dirinya dikecam teruk, Kak Long 7E tampil menafikan semua tuduhan itu dan menjelaskan dia menjadi sasaran netizen yang masih tidak berpuas hati dengannya. 


"Kak Long tak ada ejek OKU. Kak Long tahu satu Malaysia benci Kak Long. Jadi setiap apa yang Kak Long buat, semuanya nampak salah. 


"Kak Long faham setiap apa yang Kak Long tulis akan menjadi perhatian orang. Live Kak Long orang masuk, orang kecam, orang tunggu kita silap kat mana, orang akan kecam. Orang akan manipulasi supaya Kak Long nampak bersalah selama-lamanya. 


"Kak Long tiada niat melukakan hati golongan OKU. Kak Long faham kesusahan hidup sebagai OKU yang banyak bersabar dalam meniti usia. Ujian orang OKU pada diri mereka dan keluarga mereka cukup besar. Kak Long doakan semoga hidup mereka dipermudahkan," katanya. 


Susulan dari beberapa insiden itu, Kak Long 7E akhirnya mengambil keputusan untuk berehat seketika dari media sosial kerana terlalu banyak netizen yang melemparkan komen-komen negatif terhadapnya. 


"Kak Long plan untuk kurangkan aktiviti di media sosial ni. Terlalu ramai orang negatif. Terlalu ramai tunggu masa nak hentam Kak Long. Kak Long nak berehat seketika. Korang, Kak Long doakan semoga sihat-sihat selalu. Lupakanlah Kak Long, kita bukan siapa-siapa. Salam sayang," katanya. 


Sumber: Harian Metro, Facebook Wan Nor Baizura



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.