'Tindakan guru itu menyebabkan Ain alami tekanan emosi & kejutan saraf serius, selain sering pengsan, fikiran layang'
Perkembangan terkini kes pelajar dakwa guru sekolah melakukan gurauan lucah ketika sesi pembelajaran. Pelajar berkenaan dan bapanya menegaskan saman yang dikenakan terhadap mereka berdua oleh guru terbabit adalah bertujuan menutup kebenaran.
Guru berkenaan, Khairul Nizam, 46, memfailkan saman fitnah terhadap Ain Husniza Saiful Nizam dan bapanya, Saiful Nizam berhubung video yang dimuat naik oleh Ain yang mendakwa seorang guru melakukan gurauan mengenai isu rogol ketika kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.
Bagaimanapun, peguam Sankara Nair yang mewakili Ain Husniza dan bapa menjelaskan anak guamkan akan memfailkan tuntutan balas terhadap Khairul Nizam, Pengetua SMK Puncak Alam Sarimah Mohammed Nor, Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Anismah M Noh, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin dan kerajaan sebagai defendan pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima.
Dalam tuntutan balas tersebut, plaintif menegaskan bahawa gurauan seksual itu sebagai melampau sehingga tidak boleh dianggap sebagai penghinaan, kegusaran atau penindasan remeh-temeh semata-mata.
Dua beranak itu mendakwa Khairul sepatutnya sedar dan peka gurauan lucah seperti itu akan memberikan kesan buruk terhadap Ain dan para pelajar perempuan lain. Apatah lagi ketika kejadian itu berlaku, ia merupakan kali pertama pelajar lelaki dan perempuan digabungkan untuk sesi pembelajaran yang sama.
Tindakan guru terbabit bukan sahaja melampau, malah secara tidak langsung menyebabkan pelajar perempuan diancam dengan tindakan keganasan serta ancaman rogol. Selain itu, juga boleh menyemai minda toksik. Disebabkan gurauan itu juga, Ain mengalami masalah tekanan emosi dan kejutan saraf yang serius.
"...tindakan defendan pertama dalam mengungkapkan jenaka seksual tersebut akan menyebabkan kemaluan terhadap para pelajar terutamanya kepada pelajar perempuan, termasuk plaintif pertama (Ain).
"Plaintif-plaintif menegaskan adalah jelas terbukti defendan pertama telah bertindak secara nakal dengan sengaja dalam mengungkapkan jenaka seksual tersebut. Akibat daripada jenaka seksual yang sangat menindas dan merosakkan psikologi, ia telah menyebabkan plaintif pertama mengalami tekanan emosi dan/atau kejutan saraf yang teruk.
"Bukan sahaja hak undang-undang plaintif pertama terhadap keselamatan peribadinya telah dilanggar dengan ganas, tetapi plaintif pertama juga mengalami ketakutan, kesedihan, penghinaan, kebimbangan dan ancaman keganasan dan kecederaan peribadi yang berterusan," dakwa Ain dan bapanya Saiful Nizam.
Disebabkan semua itu, Ain mengalami kesukaran untuk tidur (insomnia) yang telah menjejaskan kesihatan mental, fizikal dan psikologinya. Ain juga terpaksa mengecualikan dirinya daripada menghadiri sekolah menyebabkan dia diberikan surat amaran pemberhentian persekolahan.
Hal itu telah menyebabkan tekanan emosi Ain semakin teruk dan tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran dan persediaannya untuk menghadapi peperiksaan SPM kerana keadaan fizikalnya tidak stabil.
Ain selalu mengalami pengsan dan/atau berfikiran layang yang berulang memberikan kesan kepada pelajarannya sehingga menyebabkan prestasi akademiknya teruk.
Saiful Nizam terpaksa mendaftarkan Ain ke sekolah swasta yang menawarkan persekitaran yang selamat dan sihat. Dalam masa sama Saiful terpaksa menanggung kos kerugian kerana perlu menanggung kos perbelanjaan untuk membiayai pembelajaran anaknya di sekolah swasta.
Disebabkan itu, Ain dan Saiful Nizam menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi pampasan dan ganti rugi teladan. Mereka juga menuntut kaedah lima peratus ke atas jumlah penghakiman dari tarikh pemfailan tuntutan balas itu sehingga penyelesaian penmuh dan muktamad.
Dua beranak itu juga menuntut kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah.
Tindakan undang-undang guru itu dan tuntutan balas Ain dan Saiful Nizam ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Klang pada 21 Mac.
Sumber: Malaysiakini
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment