Majikan dera pembantu rumah sampai buta, tak benarkan balik negara asal sejak 2011


Sepasang suami isteri ditahan kerana didakwa mendera pembantu rumah warga Indonesia sehingga buta. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pasangan itu masing-masing berusia 35 dan 36 tahun itu ditahan hasil dari pemerhatian dan maklumat orang awam mengenai mangsa selalu didera, ditumbuk dan tidak dibayar gaji sebagai pembantu rumah. 

Suspek lelaki ditahan ketika membawa mangsa keluar di Jalan Iskandar, manakala isterinya ditahan di kediaman mereka di Hala Kledang Emas, Taman Kledang Emas pada Ahad lalu. 

Ketika diselamatkan, mangsa dalam keadaan trauma dan ketakutan, mukanya bengkak dipercayai akibat ditumbuk dan penglihatannya juga terjejas akibat didera pasangan terbabit sejak 2011. 

Pemeriksaan lanjut mendapati, ada kesan luka lama di bahagian badan mangsa akibat dipukul dengan rotan. Pasangan itu juga mengaku tidak pernah membenarkan mangsa pulang ke negaranya.

Kedua-dua suspek direman selama lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migrain (ATIPSOM) 2007. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.