'Dahsyat betul la! Kena tembak tu!'
Polis melepaskan sembilan das tembakan ke arah kereta Proton Persona yang dipandu oleh suspek lelaki yang melanggar kereta peronda awal pagi tadi di Jalan PJS 5, Taman Medan, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah dan terserempak dengan suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, anggota peronda kemudian meminta lelaki itu memberhentikan kenderaannya untuk melakukan pemeriksaan. Tetapi suspek enggan memberikan kerjasama sebelum melarikan diri.
"Anggota meminta kerjasama unit peronda lain untuk mengejar suspek sehingga ke Jalan PJS 5. Kemuncaknya dia bertindak nekad melanggar sebuah kereta peronda berulang kali menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri," katanya.
Berikutan tembakan itu, suspek berusia lingkungan 30 tahun itu melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya.
"Polis sedang giat memburu suspek termasuk meminta bantuan unit forensik bagi melakukan siasatan terhadap kenderaan milik suspek.
"Pada masa yang sama, polis juga akan melakukan siasatan bagi mengetahui motif sebenar suspek bertindak demikian sehingga berani melanggar kereta peronda," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian itu diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment