Pemandu teksi acu pisau dan paksa penumpang bayar tambang RM6,000 bagi jarak 7 KM
Seorang pemandu teksi yang tamak dan tidak bertanggungjawab menggugut penumpangnya yang merupakan warga Bangladesh untuk membayar tambang bagi jarak perjalanan lebih kurang tujuh kilometer, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 2 petang Selasa, mangsa berusia 41 tahun yang bersendirian mahu menggunakan perkhidmatan teksi dari Jalan San Peng ke Sunway Putra Mall.
"Mangsa menahan teksi model Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 40-an. Dalam perjalanan, mangsa bertanya berapa jumlah tambang yang perlu dibayar apabila dia mendapati teksi itu tidak menggunakan meter tambang.
"Soalan itu menyebabkan pemandu teksi itu marah dan memaklumkan tambang keseluruhan yang perlu dibayar adalah RM6,000.
"Terkejut dengan jumlah yang tidak masuk akal itu, mangsa yang juga ahli perniagaan mempersoalkan bayaran itu sebelum pemandu teksi terbabit memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.
"Pemandu teksi naik angin lalu mengeluarkan pisau dan mengugut mangsa supaya membayar kira-kira RM4,500 atau mangsa akan dicederakan.
"Mangsa yang dalam ketakutan kemudian menyerahkan bayaran tambang RM3,900 sebelum mangsa dibenarkan keluar dari teksi," kata sumber polis.
Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, ini adalah kali pertama mangsa berhadapan dengan kejadian itu sepanjang tinggal di negara ini sejak beberapa tahun. Mangsa juga trauma menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dilakukan bagi menjejaki suspek.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment