Patutlah kena caj RM600, ambil 4 kari kepala ikan saiz 'XL' untuk 17 orang rupanya
Susulan viral dakwaan seorang lelaki yang tidak berpuas hati dikenakan caj RM600 bagi empat mangkuk hidangan kari kepala ikan di sebuah restoran terkenal di ibu kota, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK) telah mengarahkan sepasukan pegawai Unit Anti Percatutan Bahagian Penguat Kuasa, melakukan siasatan.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Datuk Roslan Mahyuddin berkata, siasatan mendapati semangkuk kari kepala ikan yang dijual di restoran itu berharga dari RM50 ke RM150 mengikut saiz X, M, L dan XL.
Pihak restoran berkenaan juga meletakkan tanda harga bagi setiap makanan dan minuman yang dijual, termasuk kari kepala ikan.
"Bagaimanapun, mereka tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai (harga mengikut) saiz kepala ikan atau gambar yang jelas menunjukkan perbezaan antara harga setiap saiz kepala ikan itu.
"Dengan gambar yang jelas, pelanggan tidak akan keliru ketika membuat pembelian," katanya.
Ekoran itu, pihaknya mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada restoran itu bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai hidangan tersebut, dalam tempoh 10 hari.
Walau bagaimanapun, Roslan kesal dengan tindakan pelanggan yang menyebarkan resit bayaran itu tanpa memberikan butiran lengkap sehingga mengelirukan orang ramai.
"Mengenai gambar yang tular itu, saya kesal kerana pelanggan berkenaan hanya memuat naik gambar resit untuk hidang empat kepala ikan yang dicaj RM600.
"Ia seolah-olah hidangan untuk seorang sahaja, sebaliknya dalam keadaan sebenar, ia hidangan untuk 17 orang," katanya.
Justeru, Roslan menasihatkan orang ramai untuk bertanya tentang harga makanan sebelum mengambil/memesan makanan bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment