Ibu tunggal cuba melacurkan diri dipenjara 6 bulan, 6 sebatan


Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan enam sebatan terhadap seorang ibu tunggal selepas dia mengaku bersalah di atas pertuduhan cuba melacurkan diri, lapor Harian Metro

Hakim Tinggi Syarie, Rosdi Harun, menetapkan hukuman sebatan syariah itu dilaksanakan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan. Bagaimanapun, beliau memerintah hukuman itu dilaksanakan selepas tempoh 14 hari sekiranya tertuduh tidak mengemukakan rayuan. 

Ketika hukuman dijatuhkan, tertuduh hanya tunduk sahaja. 

Dalam pada itu, Rosdi juga menyatakan kekecewaannya terhadap sikap ibu tunggal berusia 30 tahun itu yang langsung tidak menunjukkan sebarang tanda keinsafan sepanjang prosiding dijalankan. 

Berdasarkan pertuduhan, ibu kepada seorang anak perempuan berusia 7 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri. 

Tertuduh yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar raya ini bersama seorang pelanggan antara jam 11.20 malam hingga 11.45 malam, 17 September lalu. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie, Khazmizan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan penguatkuasa syariah daerah di bilik bernombor 507 di hotel berkenaan dan melakukan rampasan terhadap 11 barangan yang disahkan milik wanita itu termasuk kondom, minyak pelincir, coli dan seluar dalam.

Difahamkan, tertuduh juga menerima bayaran sebanyak RM100 daripada pelanggan untuk melakukan perbuatan itu pada hari sama ketika ditahan.

Dalam prosiding sebelum ini, tertuduh mengakui terpaksa melakukan perbuatan itu kerana memerlukan wang untuk menyara kehidupannya dan anak perempuan berusia tujuh tahun yang dijaga oleh kakaknya di Klang, Sementara itu suasana di luar Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu tenang dan lengang serta tidak menampakkan sebarang kemungkinan berlakunya protes oleh badan bukan kerajaan (NGO) membabitkan kes seorang ibu tunggal yang dituduh melacur, hari ini.


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.