3 sekeluarga diugut dan diikat perompak jam 3 pagi


Diugut dan diikat, itulah yang dialami tiga sekeluarga apabila sekumpulan perompak memecah masuk ke kediaman mereka di Taman Gembira, Rimba Terjun, pagi kelmarin, lapor Sinar Harian.

Dalam kejadian jam 3 pagi, pasangan suami isteri dan anak mereka diikat tiga perompak bersenjatakan pisau pemotong dan parang.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek memecah masuk rumah itu ketika keluarga terbabit sedang tidur. 

"Suspek dipercayai memotong gril pintu masuk utama sebelum memasuki kediaman dan mengikat tangan tiga beranak itu serta minta menyerahkan wang tunai dan barang berharga.


"Pisau pemotong dan parang digunakan kesemua suspek untuk menyamun mangsa sebelum melarikan tiga buah telefon bimbit, wang tunai RM4,000, empat bentuk cincin emas, seutas rantai emas dan tiga utas jam tangan menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM8,000," katanya.

Menurut mangsa, ketiga-tiga suspek itu dipercayai warganegara Indonesia, berdasarkan dialek percakapan mereka. 

"Kesemua suspek berpakaian gelap memakai topeng muka dengan hanya menampakkan mata dan bersarung tangan. Keluarga mangsa tidak mengalami kecederaan, namun mereka masih trauma dengan kejadian itu," katanya.


Polis sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat, tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.