Letak cawan atas perabot, nenek tembak kaki cucunya
Seorang wanita warga emas berusia 75 tahun ditahan kerana menembak kaki cucu lelakinya kerana secawan teh, lapor Daily Mail.
Helen Washington, dihadapkan ke mahkamah selepas dia menembak cucunya yang tidak mengendahkan permintaannya agar dia tidak meletak air tehnya di perabot rumahnya.
Pada Jumaat lalu, polis tiba lokasi kejadian, Brooklyn Center, Minnesota, menemui mangsa di halaman depan rumah yang cedera di paha, mendakwa telah ditembak oleh neneknya.
Polis turut menemui sepucuk pistol jenis revolver dengan lima butir peluru dan satu kelongsong peluru yang telah dibedil, sebelum menahan Washington di tempat kejadian.
Menurut seorang jiran yang merupakan saksi berkata, dia ternampak Washington bengang apabila cucunya tidak mengalihkan cawannya dari perabot.
Saksi berkata, Washington kemudian membuang air teh itu dan keluar dari bilik lalu mengambil pistol. Apabila dia kembali, cucunya telah membancuh air teh yang baru dan sekali lagi diletakkan di atas perabotnya.
Bengang dengan apa yang dilihat, Washington terus menembak kaki cucunya.
Ketika ditahan, Washington berkata kepada polis yang dia berpendapat dia tidak akan dipenjarakan dan bertanya mana peluru yang didakwa terkena pada cucunya itu.
Hakim mengarahkan Washington menjalani pemeriksaan sama ada dia layak untuk menghadapi perbicaraan atau sebaliknya. Washington kini berdepan dengan dakwaan menyerang dengan senjata api dan perbicaraan disambung semula pada 18 Disember ini.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment