Beri lesen pusat judi dan penjualan alkohol kepada bumiputera - Zaid Ibrahim


Lesen pusat judi dan penjualan alkohol perlu diberi kepada bumiputera agar dapat bersaing dengan kaum lain dari segi ekonomi, demikian cadangan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. 

Berkata demikian melalui penulisan di blognya, Zaid berpandangan bahawa, salah satu faktor utama orang Melayu ketinggalan berbanding kaum lain dalam pelbagai bidang adalah berpunca dari dasar bersifat diskriminasi yang diperkenalkan oleh kerajaan. 

"Saya menyokong dasar yang tidak bersifat diskriminasi yang membolehkan bumiputera turut serta dalam perniagaan menjual produk tidak halal yang memberi pulangan lumayan dan banyak di negara ini.

"Kenapa tidak beri lesen kepada bumiputera untuk buka kasino, pusat hiburan, aktiviti judi dan penjualan alkohol?

"Sektor itu merupakan sumber ekonomi yang besar yang melibatkan berbilion ringgit namun orang Melayu dihalang turut serta. Bagaimana orang Melayu muslim akan mampu menyaingi kaum lain dari segi ekonomi?" katanya.

Menurutnya, perniagaan seumpama itulah yang menyumbang kepada ekonomi kaum Cina yang kemudian membuka peluang kepada mereka yang melabur dalam hartanah. 

"Orang Melayu mengeluh bahawa mereka telah hilang tanah mereka dan tak mampu beli rumah kos rendah. Kenapa orang Melayu tidak diberi peluang sama seperti Cina agar mereka boleh buat duit dan lindungi tanah mereka?

"Perniagaan ini adalah berdosa, sudah tentu, tapi sejak bila kerajaan diberikan mandat di bawah perlembagaan untuk melindungi orang Melayu daripada dosa? Tugas kerajaan adalah memastikan semua rakyat dapat merasai kekayaan dan kemakmuran negara.

Memetik Labuan dan Langkawi sebagai contoh, Zaid berkata, orang Melayu yang tidak "tersinggung" dengan perniagaan seumpamanya perlu diberi lesen untuk membuka kasino di pulau bebas cukai itu.

"Sesetengah orang Melayu mudah tersinggung, tapi kita tidak harus menguruskan negara mengikut perasaan semata-mata. Kenapa tidak buka kasino di Labuan dan Langkawi yang dioperasikan oleh orang Melayu?

"Tidak masuk akal kita boleh terima kasino besar di Genting tapi menganggapnya 'kurang berdosa' tapi menghalang kasino kecil lain di tempat lain.

"Bumiputera dan orang Melayu yang tidak tersinggung dengan aktiviti ini perlu diberi lesen operasi. Adakah kerajaan ketika ini akan mengambil pendekatan ini? Mungkin tidak, tapi mereka terus mengeluh bahawa Melayu ketinggalan," katanya. - MalaysiaKini, Zaid Ibrahim


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.