'Sebaik masuk ke sebuah bilik, saya lihat isteri bersama lelaki lain' - Khalwat, suami ceraikan isteri dengan talak 1
Seorang isteri yang ditangkap khalwat oleh suaminya pada 25 Oktober lalu, diceraikan dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, hari ini.
Bapa kepada tiga anak yang dikenali sebagai Atiq, 32, melafazkan cerai terhadap isterinya berusia 23 tahun di hadapan Hakim Zahari Mohd Yusoff mengikut Seksyen 47 Permohonan Perceraian Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002.
Keadaan menjadi kecoh apabila berlaku perbalahan di antara pasangan berkenaan sebaik saja keluar dari mahkamah, sebelum ditenangkan oleh polis dan ahli keluarga masing-masing.
Menurut Atiq, dia sendiri yang menangkap isterinya berkhalwat dengan lelaki lain di sebuah hotel di utara tanah air pada 25 Oktober lalu, sebelum membuat laporan polis.
Hancur luluh hati Atiq apabila melihat isteri yang dikahwininya selama tujuh tahun itu sanggup curang walaupun sudah mempunyai tiga anak berusia antara setahun hingga enam tahun.
"Saya bersama kawan, pegawai pejabat agama dan polis pergi ke hotel itu selepas diberitahu oleh rakan bahawa kereta milik saya diletakkan di hadapan hotel berkenaan.
"Sebaik masuk ke sebuah bilik, saya lihat isteri bersama dengan lelaki lain dan ia menguji kesabaran saya sebagai seorang suami.
"Saya tekad membawa pulang anak ke Kota Bharu dan melafazkan cerai kerana tidak sanggup melihat kecurangan isteri daripada terus berlaku," katanya yang juga telah lama menahan sabar kerana memikirkan tiga anaknya yang masih kecil.
Sumber: Harian Metro
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment