Agar-agar boleh menyebabkan bayi mati tercekik - Pakar


Walaupun mempunyai tekstur yang lembut, makanan ringan dalam bentuk agar-agar manis sebenarnya boleh menyebabkan kematian kepada bayi berusia enam bulan ke bawah jika tercekik.

Pakar Anestesiologi, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Dr Maslina Ahmad Marzuki berkata, ini kerana agar-agar boleh menutup saluran pernafasan sehingga menyebabkan kesukaran untuk bernafas.

“Jangan kita anggap makanan lembik seperti agar-agar manis tidak boleh menyebabkan kanak-kanak tercekik kerana mereka masih belajar makan dan terdedah kepada risiko itu, walaupun tiada kes kita terima tetapi jangan ambil mudah perkara ini,” katanya kepada Bernama pada Sambutan Hari Anestesia Sedunia peringkat HSAH, di sini, hari ini.

Dr Maslina berkata, selain daripada agar-agar, mereka yang tercekik bebola ikan, biji rambutan dan biji manggis  serta  duit syiling juga boleh mati jika tiada kaedah menyelamat awal di lakukan di rumah oleh ibu bapa dan ahli keluarga.

“Oleh itu amat penting sekali, penjaga dapat belajar kaedah CPR (resusitasi kardiopulmonari) atau kaedah menepuk belakang serta menekan bahagian dada (ulu hati) kanak-kanak itu untuk melepaskan bendasing yang tersekat di saluran pernafasan dan ini boleh dipelajari sendiri di rumah atau menonton YouTube,” katanya.

Mengenai program itu, Dr Maslina berkata, ia mendedahkan kepada orang awam tentang teknik pembiusan selain memberi peluang kepada orang ramai melihat dengan jelas alat-alat pembiusan yang digunakan oleh doktor pakar dan pegawai perubatan setiap kali pembedahan.

“...bidang anestesia ini bukan sahaja tertumpu kepada kaedah pembiusan untuk sebarang pembedahan tetapi juga perkhidmatan perawatan kesakitan, rawatan rapi bagi pesakit-pesakit kritikal dan sebagai pasukan sokongan paling utama di hospital untuk menyelamatkan pesakit,” katanya.

Program dua hari bermula hari ini turut menyediakan pelbagai acara menarik kepada pengunjung seperti tayangan video, persembahan oleh pegawai perubatan siswazah, pameran, senam robik dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. ― Bernama


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.