Anak derhaka pukul mak didenda RM5,000, rayu hukuman ringan
Padah memukul ibu kandungnya dengan rangka kerusi sehingga lebam dan luka di mata, tangan dan kaki, seorang pegawal keselamatan dijatuhkan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, lapor Harian Metro.
Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman denda RM5,000 itu selepas Zainuddin Duriat, 35, mengaku bersalah selepas jurubahasa mahkamah membaca pertuduhan terhadapnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut, tertuduh terpaksa menjalani hukuman penjara tambahan selama lima bulan.
Berdasarkan pertuduhan, Zainuddin memukul ibunya, Khalijah Mohd, 52, menggunakan rangka kerusi sebagai senjata dalam kejadian di rumah mereka di Kota Damansara pada jam 12 tengah malam 17 Disember lalu.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan yang sama di masa akan datang.
Zainuddin yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia tidak berkemampuan selain masih perlu menanggung ibunya.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment