Budak 5 tahun maut didera ibu tiri
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai didera oleh ibu bapanya, lapor mStar Online.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Mohd Afzanizam Yahaya berkata, laporan polis dibuat oleh pegawai perubatan yang merawat mangsa, pada jam 1 pagi.
Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan pasangan suami isteri terbabit berusia antara 23 dan 33 tahun di kediaman mereka di Bandar Dato Onn, jam 11 pagi, untuk membantu siasatan.
Difahamkan, pasangan terbabit menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu terus dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada jam 12 tengah malam Rabu.
Sebaik saja tiba di HSI, mangsa dimasukkan ke wad kecemasan untuk diberi rawatan. Namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Pemeriksaan HSI juga mendapati, terdapat kesan lebam yang ditemui pada badan, muka, dada dan bahagian belakang badan mangsa.
Mohd Afzanizam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, ibu tiri mangsa yang merupakan warga Indonesia mengakui telah mendera mangsa.
"Kami percaya kanak-kanak itu didera beberapa kali berdasarkan kesan lebam dan kecederaan di tubuhnya. Kami juga mengetahui ibu tirinya adalah warga Indonesia tanpa pasport atau dokumen pengenalan tiada," katanya.
Menurutnya lagi, si suami bekerja sebagai tukang masak, manakala si isteri pula tidak bekerja.
Pihak polis kini sedang menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment