'Aku dah penat, suami terlalu ego, ini saja jalan terakhir' - Isteri tertekan nekad cerai dan cederakan diri
Rumah tangga sepatutnya dipelihara dengan baik oleh suami isteri, bukannya mengharap pada pasangan sahaja. Perkahwinan dibina di atas dasar cinta, jadi tiada alasan untuk suami menyerahkan segala tanggungjawab menguruskan hal rumah tangga kepada isteri. Sebaiknya. bantu dan fahamilah isteri seperti mana suami mahu isteri memahaminya.
Soal nafkah, usah berkira. Yang dikahwini itu adalah isteri, bukannya kuli warga asing. Isteri bekerja atau tidak, suami tetap perlu beri nafkah untuk isteri kerana itu adalah tanggungjawab. Jika perkara asas seperti ini tidak dijaga, ia akan mendatangkan masalah di kemudian hari.
Perkongsian luahan wanita ini menunjukkan betapa dia sengsara dengan sikap ego suami yang tidak mahu menjadi pendengar yang baik kepada isterinya. Isteri yang tidak bekerja, menguruskan anak-anaknya seorang diri, menguruskan rumah tangga 24/7 tanpa cuti sepanjang perkahwinan, janganlah dianiaya sebegini.
ASSALAMUALAIKUM min. Aku dalam proses bercerai dengan suami. Anak-anak dia tak bagi kat aku. Tak apa, Allah Maha Besar. Dan tak apa, aku tahu dia bapa yang baik. Kami dah berkahwin 10 tahun. Aku kahwin awal.
Aku dah penat, tak ada dah kemanisan dalam perkahwinan kami. Sebab apa? Aku bukan nak mengaibkan dia, tetapi aku dah tak ada pendengar setia. Kawan baik aku dah meninggal dunia. Mak aku yang dulunya pendengar setia aku pun dah pergi meninggalkan aku. Aku rindukan dia min.
Aku mengasuh anak orang. Sebulan dapat RM400. RM150 aku bayar wifi, RM50 bayar line telefon bimbit. RM100 untuk susu anak dan buat belanja petrol ambil anak pergi dan balik dari sekolah. RM100 lagi aku bayar bil elektrik sebab suami kata adik aku duduk dengan kitorang.
Gaji suami aku dekat RM10,000 sebulan, kerja oil and gas. Nafkah aku tak ada, sebab dia dah beli lauk, bayar kereta, bayar rumah, motor. Tak apalah.
Selain dari mengasuh anak orang, kerja aku dari jam 6 pagi hingga jam 6.15 petang, ambil anak sekolah dan hantar anak sekolah. Kadang-kadang aku tak sempat nak bersarapan. Tak apalah, demi anak-anak. Minyak kereta aku jarang minta sebab kalau aku minta, mesti dia marah dulu dan lepas itu baru dihulur RM10.
Perjalanan aku dari rumah ke sekolah anak mengambil masa selama 20 minit. Itu yang sekolah rendah. Kalau yang tadika, dalam masa 10 minit pergi balik. Kau rasa cukup ke RM10 untuk minyak kereta?
Bila aku penat, aku mengadu pada dia dan dia pula kata kerja dia lagi penat. Cuba aku pergi kerja dan dia duduk di rumah menguruskan anak-anak? Astaghfirullah. aku makan hati min.
Aku bukan nak mengeluh tetapi apa salah kalau dia dengar luahan aku? Bila aku sakit, aku luah yang aku sakit, takut nak pergi klinik. Dia kata kalau takut, jangan cakap dan dia menyampah dengar. Ya Allah, min, aku dah terlalu penat.
Pernah aku cakap dengan dia yang baju anak-anak dah koyak-koyak. Dia cakap, kan ada banyak lagi baju. Aku yang uruskan anak-anak, baju diorang aku tahu.
Oh ya, aku dah dua hari tinggalkan rumah. Bila aku balik sekejap tengok anak-anak, kalau dulu masa aku ada, sarapan anak-anak pergi sekolah pun tak ada. Sekarang sarapan tersedia, baju anak berganti. Dah terlalu lama aku makan hati. Aku ada beri dia peluang, tetapi dia kata aku yang tidak memahami dia. Egonya dia min.
Min, doakan urusan penceraian aku dipermudahkan. Bukan aku tak fikirkan anak-anak dan bukan aku pentingkan diri. Tapi aku takut lama kelamaan aku mengalami masalah mental dan buat perkara yang bukan-bukan.
Kepada suamiku, kalau kau baca luahan ini, ketahuilah aku dah terlalu penat. Aku tidak sempurna. Duhai anak-anak, ingatlah, anak-anak ibu tetap di hati ibu.
Ini saja jalan terakhir aku min, aku tak kerja dan tak ada duit. Puas dah aku fikir apa jalan yang terbaik. Ya Allah, aku dah tak mampu, aku penat. Aku tak ada sesiapa min, kawan-kawan pun tak ada, mak ayah tak ada. Aku cuma sudah tidak mampu hidup dengan ego lelaki. Aku sakit min.
Sumber: Kisah Rumah Tangga
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment