'Orang mengandung ini memang menyusahkan ke?' soal isteri membuatkan suaminya kesal tertunjuk muka
Wanita mengandung melalui pelbagai saringan kesihatan dari awal disahkan hamil sehinggalah ke saat melahirkan anak. Sudah pastinya, banyak masa dihabiskan di klinik sepanjang tempoh kehamilan. Jika bacaan kesihatan normal, wanita hamil tidak perlu gusar tetapi sekiranya bacaan kesihatan tidak menepati seperti yang dikehendaki, wanita hamil perlu berulang-alik ke klinik.
Si suami pastinya menjadi peneman isteri setiap kali membuat pemeriksaan di klinik. Tetapi, jika setiap hari perlu 'berkampung’ di klinik sudah pasti timbul rasa jemu dan bosan si suami. Wanita yang hamil pula jiwanya sensitif, jiwanya perlu dibelai setiap masa dan ketika.
Sebelum ini, BroOhsem berkongsikan jenis-jenis tudung tak jadi yang menarik perhatian netizen. Kali ini pula, dia berkongsikan kisah isterinya yang mempersoalkan adakah wanita mengandung menyusahkan?
"ORANG mengandung ini memang menyusahkan ke?"
Soal isteri kepada saya semalam dengan memegang erat tangan saya. Matanya merah menahan air mata dari berlinangan kerana menganggap dirinya menyusahkan saya dengan kandungannya yang sudah menghampiri 31 minggu.
Ini kerana kelmarin, beliau untuk kali ketiganya menjalani ujian BSP (Blood Sugar Profile). Jadi boleh dikatakan berkampunglah kami di klinik kesihatan untuk mengambil bacaan darah sebanyak 4 kali dalam sehari.
Setelah 2 kali BSP sebelum ini mencatatkan bacaan yang baik, namun kelmarin bacaan pertama pada pukul 8 pagi menunjukkan bacaan 5.3 tahap gula dalam darah. Jika mengikut kadar biasa, bacaan itu adalah baik. Masih di bawah 6.1. Tetapi mungkin orang mengandung ini standardnya berlainan kerana 5.3 pada bacaan pertama hari ujian BSP dianggap sebagai tinggi.
Hasilnya, selepas berjumpa doktor semalam, isteri diarahkan untuk membuat BSP sekali lagi pada hari ini. Agak mengecewakan juga kerana ujian BSP ini 4 kali. Bermakna 3 kali perlu dibuat di klinik kesihatan dan yang terakhir di klinik biasa atau farmasi. Jadi, saya perlu menemaninya lagi dua hari iaitu hari ini (BSP) dan besok untuk berjumpa Doktor sekali lagi. Bayangkan 4 hari berturut-turut ke Klinik Kesihatan yang sememangnya penuh setiap hari.
Mungkin ternampak sedikit kekesalan di air muka saya semalam yang membuatkan isteri terfikir yang dia menyusahkan saya. Saya akui memang silap saya tertunjuk muka. Selalunya saya memang akan sorok apa juga kepenatan dalam membantu dia.
Saya tidak kesalkan bacaan gula isteri pun sebenarnya. Cuma agak stress dengan keterpaksaan berkunjung ke Klinik Kesihatan 4 hari berturut-turut. Mungkin memang tidak boleh ditangguh lagi ujian BSP itu. Kalau boleh ditunda ke minggu hadapan alangkah baiknya. Kerana 4 hari berturut-turut memang memenatkan. Tapi demi keselamatan baby, saya harus terus positif.
Sehingga hari ini saya cuba menenangkan perasaan dia. Sesungguhnya saya sedar perkara ini harus dilalui oleh kebanyakan orang yang mengandung. Tidak ada istilah menyusahkan sebenarnya. Malah saya yang patut bersyukur kerana isteri sudi bersusah payah dengan sakitnya, loyanya, muntahnya untuk kami menambah zuriat. Tidak ada apa lagi yang sepatutnya saya harapkan dari dia melainkan sentiasa cuba meringankan bebannya.
Kadang-kala saya terlihat ada ibu-ibu yang datang ke klinik kesihatan bersendirian ataupun bersama anak yang masih kecil. Terdetik juga rasa kasihan tetapi saya lebih berasa kagum dengan kekentalan mereka. Semoga semua ibu yang menjalani saat-saat ini dipermudahkan segala urusan.
Doakan juga urusan kami dipermudahkan dan semoga isteri saya Nora Azni dan kandungan sentiasa sihat walafiat. Due adalah pada 20hb Oktober ini. Boleh juga bagi kata-kata semangat kat dia. Nampak sedikit down dari semalam lagi.
Korang pernah kena buat BSP? Serik tak? Pengalaman korang macam mana?
Sumber: Akhtar Syamir
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment