(Video) Bayi baru lahir ditemui dalam longkang, leher dibelit dengan tali pusat


Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui di dalam longkang, dalam keadaan lehernya dibelit dengan tali pusat, lapor Daily Mail. 

Dalam video viral itu, Geeta, 45, dari Chennai dilihat memasukkan tangannya ke dalam longkang untuk menarik kaki bayi itu keluar dari longkang sebelum dibersihkan dengan air. 

Video itu dirakam oleh orang awam dalam kejadian yang berlaku di Valasaravakkam, Daerah Chennai, selatan India. 





Menurut media tempatan, Geeta sebelum itu dimaklumkan oleh penjual susu yang mendakwa terdengar suara tangisan bayi berkenaan yang pada awalnya disangkakan suara anak kucing. 

Bayi itu kemudian dikejarkan ke Hospital Egmore dan doktor mendapati mangsa mengalami kesukaran untuk bernafas. 

Doktor segera menjalankan rawatan pada bayi itu yang kini telah pulih dan berada dalam keadaan stabil. 

Geeta yang tinggal bersama anak perempuannya berkata, dia mahu menamakan bayi itu sebagai Sunthanthiram (kebebasan), kerana dia menemui bayi itu pada Hari Kemerdekaan India. 

"Ramai penduduk yang datang melihat sendiri. Saya intai dalam longkang itu dan ternampak ada bayi di dalamnya. 



"Alangkah sedihnya hati melihat bayi dibuang seperti itu. Individu yang membuang bayi ini dipercayai dengan sengaja telah menolak masuk bayi ini ke bahagian dalam agar air longkang boleh melemaskan dan menghanyutkan mayatnya. 

"Saya tak rasa mereka mahukan anak ini kerana tali pusat dililit pada leher bayi agar ia dapat membunuh si kecil ini secara perlahan-lahan," katanya. 

Sementara itu, pihak hospital akan menjaga bayi berkenaan sebelum dihantar kepada pusat kebajikan anak-anak yatim tempatan. 

Pihak hospital juga mendedahkan, mereka menerima banyak permintaan dari orang ramai yang mahu mengambil bayi itu sebagai anak angkat selepas video dia diselamatkan dari longkang itu viral di media sosial. 

Polis sedang menyiasat kejadian itu dan belum ada tangkapan yang dibuat pada masa ini. 


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.