'Saya mohon maaf disebabkan perbuatan saya, orang lain terima akibat'


Susulan khidmat peneman isteri bersalin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar Sabtu lalu kerana pintu bilik bersalin ditumbuk sehingga pecah, individu yang bertanggungjawab tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, semalam. 

Lapor Harian Metro, lelaki berusia 23 tahun itu tampil memohon maaf kepada semua kakitangan HSB terutama Pengarahnya, Dr Zaiton Udin, dan mengakui perbuatannya tempoh hari telah menyebabkan ramai pihak yang terjejas. 

Jelas lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu berkata, dia tidak tahan melihat keadaan isterinya yang sedang sakit untuk bersalin anak pertama mereka yang juga anak kedua bagi isterinya itu. 

"Disebabkan perbuatan saya, orang lain menerima akibatnya dan saya ingin memohon maaf kepada semua termasuk pihak hospital. Saya menyesal dengan apa yang berlaku dan bersyukur pihak HSB memaafkan saya.


"Saya tidak tahu kes saya tular di laman sosial sehingga menimbulkan kemarahan kepada orang ramai terutama bagi pasangan yang baru pertama kali menyambut kelahiran anak.

"Saya hanya tahu kes ini diviralkan selepas dua hari kemudian apabila membaca berita dalam talian sehingga keluarga banyak memberi semangat supaya saya tampil memohon maaf,” katanya dalam sidang media di bilik mesyuarat HSB, semalam.

Justeru, lelaki berkenaan berharap larangan HSB tidak membenarkan peneman isteri ketika bersalin ditarik balik secepat mungkin bagi membolehkan keadaan kembali seperti asal. 

Sementara itu, Dr Zaiton berkata, pihaknya lega apabila lelaki terbabit tampil memaklumkan kejadian itu tidak ada kaitan dengan perkhidmatan diberikan kakitangannya. Malah, keluarga lelaki itu juga bersetuju untuk menanggung kos membaiki pintu yang telah dirosakkan. 

"Notis larangan untuk tidak membenarkan peneman ibu bersalin hanya sementara kerana kita dalam proses untuk memperkemaskan peraturan sedia ada untuk mengelak kejadian berulang dan akan ditarik balik dalam tempoh terdekat," katanya.

Ditanya mengenai laporan polis dibuat pihak HSB, Dr Zaiton berkata, pihaknya membuat laporan berkaitan kerosakan pintu bilik bersalin sahaja dan tidak membabitkan individu berkenaan.

Sementara itu di media sosial, netizen memuji sikap lelaki itu yang berani tampil membuat permohonan maaf dan bertanggungjawab di atas tindakannya itu. 


Terdahulu, lelaki berkenaan mengamuk di wad bersalin HSB kerana permohonan untuk isterinya bersalin secara pembedahan ditolak. Doktor menjelaskan, tiada keperluan untuk isterinya dibedahkan dan wanita itu boleh bersalin secara normal. 

Ekoran kejadian itu, HSB terpaksa mengeluarkan notis perkhidmatan peneman isteri bersalin dihentikan buat sementara waktu sejak Ahad lalu sehingga diberitahu kelak. 


Notis itu kemudian viral di media sosial menimbulkan rasa kurang senang di kalangan orang ramai yagn mendakwa lelaki terbabit menjadi punca orang lain tidak dapat menemani isteri mereka bersalin.


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.