67 PATI dikesan bina perkampungan haram di Nilai, siap ada sekolah ikut sukatan pendidikan dari negara jiran



Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) mengesan satu penempatan haram yang dibina oleh pendatang tanpa izin (PATI) di Nilai Spring, 1.2 kilometer dari jalan utama yang turut menyediakan kemudahan sekolah. 


Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai King berkata, perkampungan warga asing itu yang dibina di kawasan permukaan tidak rata dan berpaya serta dikelilingan besi serpihan jerat dan anjing liar itu dikesan ketika pihaknya melakukan serbuan ke penempatan tersebut pada awal pagi semalam.


"Penempatan haram ini mendatangkan risiko kecederaan tinggi kepada semua pegawai yang melaksanakan operasi itu. Pasukan operasi terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh 1.2 kilometer sebelum sampai ke lokasi," katanya. 


Difahamkan, JIMNS telah menjalankan risikan selama sebulan setelah mendapat aduan dan maklumat daripada orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat. 


Bertindak di atas maklumat itu, JIMNS segera melakukan siasatan dan mendapati perkampungan haram itu dilengkapi dengan kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran, malah turut dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa bekalan elektrik. 


Dalam operasi itu, JIMNS bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), telah berjaya menahan 67 orang PATI yang terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan. 




Kesemua PATI berkenaan sangup tinggal di kawasan tersebut bagi mengelakkan diri daripada dikesan oleh pihak berkuasa kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan. 


Turut ditemui, beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang di kediaman mereka. Kesemua PATI terbabit telah ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan dan siasatan lanjut. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.