CUEPACS akui kecewa, Perdana Menteri tak naikkan gaji penjawat awam yang tertekan dengan kos sara hidup



Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengakui pihaknya kecewanya dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 


Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, belanjawan itu langsung tidak menyentuh tentang kenaikan gaji kakitangan awam dan secara amnya dilihat tidak mampu menangani masalah tekanan kos sara hidup yang dirasai oleh rakyat pada ketika ini.


"Tiada sebarang komitmen yang diberikan oleh kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup. 


"Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan," katanya. 


Keputusan kerajaan memberi pengurangan cukai pendapatan individu golongan M40 juga dianggap tidak memberi kesan yang besar kepada pendapatan boleh guna terutama penjawat awam. 


"Lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 melalui pengurangan cukai ini tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat di luar sana. 


"Penjawat awam ketika ini mengharapkan sebuah sistem saraan yang baharu memandangkan sistem saraan perkhidmatan awam yang digunapakai ketika ini sudah lama tidak dikaji iaitu sejak November 2002 dan tidak sesuai lagi dengan persekitaran ekonomi semasa. 


"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kunci kepada negara untuk keluar daripada kancah kos sara hidup ini ialah dengan kaedah meningkatkan gaji dan upah pekerja di samping melaksanakan langkah-langkah mengawal kenaikkan kos sara hidup," katanya. 


Bukan itu sahaja, Adnan berkata, pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan penjawat awam juga tidak diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023. Kerajaan katanya, sewajarnya memperkenalkan semula program perumahan mampu milik untuk penjawat awam seperti sebelum ini. 


"Penjawatt awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya, tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam," katanya. 


Justeru, Adnan berharap kerajaan masih terbuka untuk mempertimbangkan semula permintaan warga penjawat awam terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan kos sara hidup. 


Sumber: MalaysiaKini



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.