Seluar Jeans Beg Udara pertama di dunia untuk melindungi penunggang motosikal



Syarikat Mo'cycle Sweden baru-baru ini mengumumkan Seluar Jeans Beg Udara yang pertama di dunia, yang menawarkan perlindungan impak bahagian bawah badan penunggang motosikal sekiranya terbabit dalam kemalangan. 


Sweden Mo'cycle berkata, seluar jeans itu diperbuat daripada Armalith, sejenis fabrik istimewa yang kelihatan dan terasa seperti denim sebenar. Tetapi berkemampuan menahan geseran dan kalis air. 


Seluar jeans kembung itu didatangkan dengan beg udara dibina di dalam yang akan tercetus sekiranya penunggang motosikal terbabit dalam kemalangan, bagi melindungi bahagian bawah badan penunggang. 


Ia juga berupaya melindungi tulang pertama tulang belakang kerana dalam kebanyakan kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal, kecederaan pada tulang belakang menyebabkan mereka lumpuh. 


Selain tulang belakang, seluar jean khas itu juga direka untuk melindungi bahagian paha dan pinggul. Ia turut disertakan dengan pad pelindung lutut. 




Ciri penting seluar jeans beg udara Mo'cycle ini adalah ia boleh digunakan semula. Walaupun beg udara tertanggal, ia boleh dikempiskan dan kemudian disambungkan pada kanister udara termampat yang lain. Pencetus beg udara perlu disambung pada motosikal supaya apabila penunggang terjatuh, picu akan tertanggal daripada seluar jeans dan beg udara akan diaktifkan serta-merta. 


Mo'cycle berkata, pencetus tersebut memerlukan daya sekurang-kurangnya 40 kilogram untuk menanggalkan pemicu, yang bermaksud beg udara hanya akan diaktifkan sekiranya penunggang terjatuh dari motosikal. 


"Satu-satunya perlindungan impak yang anda ada dalam seluar jeans motosikal biasa pada dasarnya adalah pelindung lutut dan kadangkala anda mendapat pelindung pinggul. Kebanyakan kecederaan berlaku pada bahagian bawah badan dalam kemalangan motosikal yang serius. 


"Selama 17 tahun saya cuba menyelesaikan masalah ini. Jadi, seperti mana beg udara kereta berfungsi, seperti itu jugalah seluar jeans khas ini akan membantu melindungi penunggang motosikal," kata pereka Mo'cycle, Moses Shahrivar.  



Seluar jeans beg udara pertama di dunia ini dijangka akan dijual di pasaran pada bulan ini dengan harga permulaan RM2,213. 


Sumber: Oddity Central



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.