(Video) 'Pihak di sana sila jelaskan bayaran saman RM60,000' - Siti Nor Hidayah tuntut Ali Puteh bayar saman
Adik kepada pelawak Allahyarham Abam Bocey, Ali Puteh telah diperintah untuk membayar RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Februari 2022.
Ali diarahkan berbuat demikian kerana membuat kenyataan fitnah terhadap Siti Nor Hidayah di media sosial kononnya dia seorang isteri yang jahat dan tamakkan harta pusaka suaminya. Hal itu mengundang kakak iparnya tampil memfailkan saman.
Ali bagaimanapun membuat rayuan untuk mengetepikan keputusan itu. Malangnya pada Disember 2022, rayuan itu ditolak dan Ali tetap diarahkan untuk membayar jumlah tersebut.
Namun begitu, sehingga ke hari ini, Siti Nor Hidayah mendedahkan saman RM60,000 itu masih belum dilunaskan oleh pihak sebelah sana. Malah, rumah milik arwah suaminya juga masih belum dipulangkan.
"Hari ini 10 Februari 2023, genap tiga tahun arwah meninggalkan kami. Abang, sayang datang rumah kita, tapi.. korang nilailah sendiri.
"Pihak di sana tolong serahkan kunci rumah arwah dan buat bayaran RM60,000. Peguam Dayah dah dua kali hantar surat dan bagi masa 21 hari, tetapi pihak di sana hanya berdiam diri dan mempermainkan perintah mahkamah," katanya menerusi hantaran terbaru di Instagram @Abam_Bocik, sejam yang lalu.
Siti Nor Hidayah bersama dengan peguamnya datang ke rumah milik arwah suaminya, tetapi penghuninya enggan keluar walaupun mereka berulang kali memberi salam. Sedangkan kereta dan motosikal milik penghuni, ada di ruang depan kediaman itu.
"Satu jam saya tunggu, tiada siapa yang menyahut dan buka pintu rumah. Padahal ada kereta, motosikal arwah, kasut
"Korang boleh tengok sendiri rumah kami jadi apa, sedih sangat-sangat. Rumah macam hutan, sedih tengok keadaan rumah arwah suami.
"Sedih sangat, datang dengan perasaan hampa. Datang ke rumah sendiri tetapi tak dibenarkan masuk. Mereka memang tak bagi saya masuk rumah," katanya yang meminta netizen menularkan video itu agar pihak di sebelah sana patuh pada arahan yang telah ditetapkan oleh mahkamah.
@hidayah_hamzah Hari ini Genab 3 tahun arwah Suami tinggalkan Kami Al-fatihah Syed Umar Mokhtar.. Abg syg dtg Rumah Kita tapiiiii..korg tolong Viralkan video ni 👏 sedih sgt2 #hidayahabamviral #videoviral #tolongviralkan #viral ♬ Instrumen Sedih - Yuda pratama
Abam Bocik atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, meninggal dunia pada 10 Februari 2020 semasa tidur, akibat demam panas.
Abam mendirikan rumah tangga dengan Siti Nor Hidayah pada 8 Disember 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey.
Sumber: Instagram Abam Bocik
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment