Kakak biarkan dirinya terbakar untuk selamatkan adiknya


Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan adik lelakinya dalam kebakaran yang berlaku di Hunan, China, pada 22 Februari lalu. 

Lapor portal berita Shi Xun Wan, kebakaran itu berlaku pada jam 3 pagi ketika keluarga itu sedang tidur. 

Si bapa terbangun dari tidur selepas terdengar anak-anaknya menangis meminta tolong, lalu segera pergi memeriksa keadaan mereka. 

"Ketika saya membuka pintu, api sudah marak. Tangga sudah terbakar, laluan untuk keluar di tingkat dua juga penuh dengan asap dan sangat panas. 

"Jadi saya segera menyuruh isteri saya pergi ke tingkap menjerit meminta tolong," kata si bapa. 


Dalam masa yang sama, si bapa menyedari suara anaknya semakin tidak kedengaran, lalu berlari ke bilik untuk menyelamatkan dua beradik itu. 

"Bilik itu sangat panas dan penuh dengan asap. Apabila saya berjalan ke katil, anak lelaki saya dibungkus dengan selimut sambil dipeluk oleh kakaknya. Kedua-dua mereka sudah tidak sedarkan diri," katanya. 


Dia kemudian segera mengambil anaknya dan berlari keluar dari bilik sebelum mendapatkan isterinya. Mereka terpaksa menunggu dan bertahan di tingkap sementara menunggu pihak bomba datang menyelamatkan mereka. 

Dua beradik itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. 

Mangsa yang berusia lima tahun tidak mengalami kecederaan yang serius kerana dilindungi oleh selimut yang dipakaikan oleh kakaknya. Malangnya, kanak-kanak perempuan itu melecur tahap ketiga dengan 55 peratus kulitnya terbakar. 



Keadaannya yang kritikal itu menyebabkan dia terpaksa menjalani 30 kali pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya. 

Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 27 Februari. Manakala adiknya berada dalam keadaan stabil. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.