Tampal peranti godam di mesin ATM, 3 suspek ditahan


Rasa curiga orang awam terhadap mesin ATM membawa kepada penahanan tiga orang lelaki yang disyaki memasang peranti godam mesin ATM di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mengatakan terdapat peranti mencurigakan di mesin ATM. 

Bertindak di atas aduan itu, lima anggota polis kemudian datang ke lokasi mesin ATM yang terletak di kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bukit Bintang untuk membuat pemeriksaan. 

Siasatan mendapati, terdapat dua alat mencurigakan yang ditampal pada bahagian masuk kad ATM dan papan pemuka mesin tersebut. 

"Hasil pemeriksaan lanjut alat berkenaan adalah pengimbas kad kredit dan kredit, manakala satu lagi ialah alat perakam video," katanya. 

Tiga suspek yang berada tidak jauh dari mesin ATM itu kemudian ditahan dan seunit komponen pengimbas kad kredit dan debit, serta alat perakam video dirampas untuk siasatan. 

Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.