Ingatkan dapat ikan besar, rupanya dapat mayat gadis


Seorang pemancing tidak menyangka terpancing mayat ketika memancing di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, Mukim Keplu, Kodiang malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata dalam kejadian pada Sabtu malam mata kail pemancing itu tersangkut pada sesuatu yang berat dan apabila ditarik ternyata yang muncul bukannya ikan besar tetapi mayat seorang remaja perempuan.

"Pemancing itu kemudian melaporkan penemuannya itu kepada polis dan apabila tiba di lokasi penemuan yang terletak berhampiran Gua Kerbau, pihak polis mendapati mangsa berpakaian lengkap, namun tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

"Pemeriksaan awal juga tidak menemui sebarang kecederaan pada badan mangsa dan tiada unsur jenayah dikesan. Mangsa dipercayai mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata polis kemudian telah menerima maklumat daripada orang awam yang menjumpai sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda di tepi Sungai Sentap dan hasil pemeriksaan mendapati motosikal berkenaan milik seorang remaja perempuan dari Simpang Ampat, Perlis.

"Kita telah mengesan keluarga pemilik motosikal itu yang tinggal di Kuala Sungai Baru, Sanglang di Simpang Ampat, Perlis. Ibu bapa pemilik motosikal tersebut juga telah diminta membuat pengecaman dan telah mengesahkan bahawa mangsa adalah anak mereka," katanya.

Mohd Ismail berkata, pada Ahad polis telah menahan teman lelaki mangsa yang berusia 18 tahun dan setelah disiasat suspek mendakwa telah bertengkar dengan mangsa sebelum mereka terjatuh ke dalam sungai.

"Berdasarkan pengakuan suspek, dia mendakwa berlaku pertengkaran mulut dengan mangsa sebelum mereka terjatuh ke dalam sungai dan suspek berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa disyaki lemas. Suspek bagaimanapun tidak meminta bantuan daripada orang ramai.

"Mayat mangsa yang dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar telah selesai dibedah siasat pukul 1.40 pagi Isnin dan pihak polis kini sedang menunggu hasil bedah siasat sebelum mengetahui punca sebenar kematian," katanya. - Bernama, Kosmo


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.