Kanak-kanak bunuh diri selepas dibuli rakan sekolah
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun mengantung dirinya selepas pembuli menulis nota "Awak bunuh diri saja, awak tak layak berada di sini," pada tablet miliknya, menurut ibu mangsa.
Kevin Reese Jr mati bunuh diri pada 21 Januari selepas pulang dari sekolahnya di Houston, Texas, ketika ibunya, Crystal, keluar ke bandar atas urusan perniagaan dan bapa tirinya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja.
Mangsa ditemui oleh kakaknya berusia 13 tahun dan Crystal mendakwa anaknya mati disebabkan pembuli terbabit.
"Dia dah tak larat, tak larat dan rasa yang dia patut pergi," kata Crystal memetik laporan dari KTRK.
Crystal berkata, sebelum ini Kevin pernah memberitahu yang dia ditumbuk oleh pembuli, tetapi dia tidak membalas perbuatan individu itu.
"Saya sangka dia dapat menangani situasi itu. Namun, pembuli itu menulis di tabletnya "Awak bunuh diri saja, awak tak layak berada di sini".
"Dia pulang ke rumah sambil menangis kerana dia tidak mampu melawan pembuli itu dan salah seorang dari pembuli menumbuk dia beberapa kali pada waktu rehat," katanya.
Mengimbas kembali detik anak perempuannya menghubunginya untuk memaklumkan Kevin telah mati, Crystal berkata, "Dia menjerit di telefon dan saya tidak faham pada awalnya, dia menjerit "KEVIN!!!"
"Saya bagaikan tidak percaya, saya terkedu seketika," katanya.
Crystal juga kesal, salah seorang pegawai dari sekolah Kevin menafikan dakwaan bahawa Kevin dibuli. Katanya, Kevin mendakwa dia ditumbuk oleh pembuli, tetapi individu terbabit menafikan dakwaan itu.
Bagaimanapun, pegawai terbabit telah dipindahkan ke daerah lain.
Crystal menggesa golongan ibu bapa tidak memandang remeh sekiranya anak mereka mengadu dibuli oleh rakan sekolah dan tidak membiarkan mereka menangani masalah itu sendirian.
Sumber: Metro
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment