'Saya merayu, tolong padamkan kenyataan saya' - Jururawat dakwa kenyataan Dr Pakar Forensik bercanggahan dengan laporan bedah siasat

Foto: Sinar Harian
Terdahulu, seorang jururawat yang dipercayai bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) mengecam keterangan doktor pakar forensik dalam inkues anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, yang didakwa bercanggahan dengan laporan bedah siasat.

Jururawat terbabit yang dikenali sebagai Cik Miera melalui Facebook mendakwa, berdasarkan pemerhatiannya sebagai seorang jururawat, keterangan Dr. Ahmad Hafizam, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bercanggahan dengan laporan bedah siasat pada 18 Disember 2018. 

Lapor Astro Awani, jururawat itu mengaku telah merawat Muhammad Adib sejak hari pertama. 

Foto: CariGold

Kenyataan Cik Miera itu mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi netizen serta turut mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang kemudian meminta dia tampil memberi keternagan dalam inkues tersebut. 

Bagaimanapun, Cik Miera menarik balik kenyataannya itu dan kini merayu kepada orang ramai yang menyebarkan kenyataan itu, memadamkannya.

"Kepada pengikut saya, berdasarkan kenyataan kepada arwah, saya merayu kepada mereka yang melakukan screenshot dan menyebarkan kenyataan tanpa kebenaran saya, tolong padam. 

"Saya tidak bermaksud untuk memberikan kenyataan yang salah dan menyebabkan salah faham. Saya akan memberikan kerjasama kepada mereka yang terlibat dalam inkues dan berdasarkan pemerhatian saya bersama kita berdoa agar Allah mempermudahkan segalanya," katanya. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menggesa semua pihak tidak menggunakan media sosial untuk menyebarkan apa jua maklumat berkaitan kes kematian Muhammad Adib kerana ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi sekali gus mengganggu siasatan kes. 

"Saya menyeru kepada sesiapa yang ada maklumat berkenaan kes Muhammad Adib supaya menggunakan platform yang sesuai untuk mengutarakan pandangan mereka khususnya oleh kerana inkues sedang berlangsung dan mereka boleh sukarela tampil ke depan untuk memberi maklumat melalui inkues supaya kita boleh mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku. 

"Itu yang paling penting untuk kita. Yang paling penting adalah supaya kita mengenal pasti apakah kebenaran sebenar berkenaan kes Muhammad Adib ini," katanya. 


Jumaat lalu, saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam berkata, corak kecederaan yang dialami oleh Muhammad Adib tidak padan dengan akibat dipukul berikutan kecederaan pada rongga dada bukan seperti biasa dialami seseorang yang dipukul dengan objek tumpul, ditendang atau ditumbuk. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.