'Isterinya sudah lama meninggalkan dia sejak kakinya membusuk 2 bulan lalu' - Bekas isteri
Meskipun sudah tidak bersama, diceraikan kerana mengejar isteri muda, bekas isteri pesakit ini sanggup datang melawat lelaki yang pernah hidup bersama dengannya. Tidak sanggup dirinya melihat keadaan bekas suaminya yang terlantar koma.
Anak-anak pula enggan melawat ayah mereka semenjak ibu bapa mereka bercerai. Apatah lagi isteri muda yang dikatakan sudah meninggalkan lelaki itu apabila mengetahui keadaannya sebegitu.
Ramai netizen yang terkesan membaca perkongsian Dr Nurilyani Bujang ini. Sebak dan terus mengingatkan pasangan masing-masing agar tidak mengulangi kesilapan seumpama itu. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.
WAJAH wanita itu sayu melihat lelaki yang terlantar di atas katil ICU. Wanita itu diceraikan pada umur 50 tahun, setelah 25 tahun bersama lelaki yang terbaring koma di atas katil.
"Saya minta maaf, boleh saya bertanya anak-anak puan di mana?"
"Anak kami dua orang, doktor. Tetapi anak semua dah besar. Mereka tidak mahu datang melawat ayahnya," katanya.
"Kenapa?"
"Sejak kami bercerai, anak-anak menjauhkan hati dari ayahnya, doktor," dia menangis teresak-esak.
"Jadi, siapa waris yang ada sekarang ini?"
"Dia dah kahwin setahun lepas, ada isteri baru. Tapi setahu saya isterinya sudah lama meninggalkan bekas suami saya sejak kakinya membusuk dua bulan lalu."
Kepala aku makin pening, namun masih bersabar melayan wanita di hadapan mataku ini. Di saat lelaki ini terdampar koma di atas katil ICU, sudah menjadi tugasku untuk mencari dan mengenalpasti siapakah waris. Segala perihal pesakit, surat menyurat, kebenaran untuk rawatan perlu dibincangkan dengan waris.
Bukan sekali aku jumpa keluarga yang berantakan di usia lanjut. Banyak. Kenapa? Kerana lupa diri. Ramai yang berkata, "wanita diuji sewaktu suaminya susah, lelaki pula diuji sewaktu dia sudahpun senang'. Itulah yang aku selalu lihat di depan mata.
Wanita yang diceraikan kerana suaminya gelap mata. Bila anak sudah besar, duit sudah tidak ke mana. Rezeki pula makin mudah. Kerja dan syarikat-syarikat semuanya sudah stabil. Pekerja ramai, hanya rileks dan kaut untung sahaja.
Masa banyak, duit banyak. Jadi hati pun kembali muda. Maka ramailah betina yang tergedik-gedik ingin menjadi pendengar setia masalah keluarga.
Mula-mula berbual, selepas itu bercerita hal masalah suami isteri. Kemudian perasaan itu berubah menjadi kasihan dan lama kelamaan curang itu semakin dekat.
"Jadi, puan datang ke sini bagaimana?"
"Mak mentua saya yang beritahu. Dia pun tak sihat, kena strok. Saya datang sebagai tanda hormat lelaki ini pernah saya hidup dengannya berpuluh tahun. Sedih saya melihat keadaannya, doktor. Tapi saya ini bukan siapa pada dia, hanya bekas isteri. Menjaga dia pun bukan tanggungjawab lagi. Apa lagi nak buat keputusan bagi pihak dia."
"Baiklah puan, puan duduk dan rehatlah di sini. Tenangkan diri," aku pun tinggalkan wanita itu melayan perasaannya. Biarlah air matanya gugur.
Keesokan harinya, lelaki itu meninggal dunia. Seorang diri, hanya kami yang mengajar kalimat suci di telinga. Tanpa keluarga, tanpa isteri atau lebih elok disebut bekas isteri, tanpa isteri muda yang sudah lari, tanpa anak-anak yang menjauh hati, tanpa ibunya yang juga sakit tidak boleh bergerak sendiri, hanya dia dan kami.
Kami kemas jenazah itu untuk dibawa pergi ke bilik mayat, tanpa waris yang mengiringi. Entah siapa yang tuntut kemudiannya, saya pun tidak pasti.
Tua sepatutnya menjadikan kita lebih dekat dengan keluarga, lebih dekat dengan Tuhan.
Air mata insaf di ICU
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment