Polis tahan suspek selepas viral video dera anak
Susulan viral video di media sosial yang menunjukkan seorang wanita mendera anak perempuannya, polis telah menahan suspek di Batu Caves, Gombak, jam 5:00 petang semalam, lapor Harian Metro.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada tahun lalu di kediamannya dan seorang individu telah membuat laporan polis berhubung video viral itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pasukan dari JSJ Selangor menahan suspek berusia 30 tahun di sebuah restoran di Jalan Sungai Tua, Batu Caves.
"Siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai berlaku di apartment dekat Taman Raintree, Batu Caves pada 2018.
"Suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak," katanya.
Berdasarkan video viral itu, suspek dilihat menendang anak perempuan berkali-kali. Mangsa yang tidak berdaya melawan hanya mampu menahan diri dengan tangan sebelum menangis kesakitan akibat ditendang ibunya yang dipercayai berbuat demikian kerana mempunyai masalah dengan suaminya.
Bagaimanapun, bekas suaminya mendakwa kejadian itu sudah lama dan mereka berdua telah berdamai. Katanya, video itu disebarkan oleh teman wanita dia yang tidak berpuas hati dia mahu meninggalkannya.
BERITA BERKAITAN:
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment