'Inilah diri saya sebenar, bahkan memang lebih selesa tak bertudung dalam kehidupan seharian' - Alya Iman
Sejak kebelakangan ini, semakin ramai selebriti memilih untuk tidak lagi bertudung dan salah seorangnya, pelakon Alya Iman, 22, di mana tindakannya itu mengejutkan orang ramai terutamanya peminatnya.
Alya pada 1 Syawal lalu berkongsi gambar penampilan baharunya tidak bertudung di media sosial dan difahamkan sudah bersedia menerima kritikan netizen.
Bagaimanapun, pelakon muda itu mempunyai alasannya tersendiri mengapa dia berbuat demikian.
Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil berkata, dia lebih selesa menampil dirinya yang sebenar berbanding terus berpura-pura menjadi seseorang yang bukan dirinya.
"Saya cuma mahu tunjukkan diri yang sebenar. Kenapa mahu menipu dalam media sosial? Sudah-sudahlah menjadi hipokrit dan membohongi semua orang.
"Inilah diri saya yang sebenar. Terpulang untuk menerima dan jika tidak suka pun tak mengapa," katanya memetik laporan daripada Kosmo! Online, Rabu.
Anak kepada pelakon Allahyarham Azmil Mustapha itu berkata, keputusan untuk tidak bertudung itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dirinya yang sebenar.
"Keputusan untuk tidak berhijab untuk beri peluang orang ramai kenal diri saya yang sebenar, bahkan memang lebih selesa tak bertudung dalam kehidupan seharian.
"Kali ini saya sedar dan tidak mahu menjadi hipokrit serta terus membohongi semua orang.
"Tiada alasan yang khusus mengapa saya tampil tidak bertudung pada 1 Syawal lalu. Keputusan itu dilakukan selepas berbincang dengan keluarga dan teman rapat, mereka bersetuju sahaja," katanya.
Sumber: Kosmo! Online
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment