PMX anjur majlis rumah terbuka di 6 negeri, cabar maruah kerajaan negeri - Takiyuddin



Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan majlis rumah terbuka Malaysia Madani di enam negeri mengundang rasa kurang senang Perikatan Nasional (PN). 


Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu melampau dan seperti mencabar maruah kerajaan negeri. Malah, ia dikatakan tidak menyumbang kepada hubungan baik di antara kerajaan negeri dan pusat, apatah lagi bermanfaat. 


"Tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak. 


"Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan," katanya. 


Bagi Takiyuddin, penganjuran masjlis rumah terbuka itu jauh tersasar dan tercemar daripada matlamat sebenar perayaan kerana ia menyasarkan negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. 


Jelas Takiyuddin, adalah lebih manis sekiranya Putrajaya menganjurkan rumah terbuka di peringkat kebangsaan sahaja. Sekali gus menunjukkan tanda hormat terhadap bidang kuasa negeri. 


Dalam pada itu, Takiyuddin bimbang Putrajaya menyalahgunakan jentera serta agensi kerajaan, selain bermotifkan politik. 


Justeru, bekas menteri itu menuntut kerajaan pusat memberi jaminan untuk memastikan semua janji dan slogan kerajaan yang dilaungkan selama ini tidak hanya tinggal slogan dan janji di bibir sahaja.


Sumber: MalaysiaKini



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.