'Suspek maklumkan perakam menyamar sebagai polis' - MP Tebrau minta polis siasat 2 lelaki rakam video pasangan buat onar dalam Axia merah



Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menggesa pihak polis menyiasat dua individu yang merakam video pasangan muda yang melakukan hubungan intim dalam kereta Perodua Axia merah yang viral di media sosial beberapa hari lalu. 


Jimmy berkata, siasatan itu penting kerana dia mendapat maklumat daripada suspek lelaki berusia 22 tahun yang ditahan itu mengatakan bahawa dua lelaki yang membuat rakaman video itu menyamar sebagai anggota polis pada hari kejadian. 


"Kita dimaklumkan bahawa pihak yang merakam video terbabit telah menyamar sebagai anggota polis. Perakam juga dikatakan cuba meminta kad pengenalan daripada suspek dan apabila mereka enggan mengikut arahan, mereka diugut oleh perakam. 


"Mereka kemudian cuba melarikan diri tetapi dikjar oleh perakam sehingga tiba di Balai Polis Pasir Putih," katanya. 


Dalam pada itu, Puah yang juga merupakan Naib Pengerusi PKR Johor berkata, dia bersediah memberi bantuan guaman secara pro-bono kepada pasangan muda itu. 


"Saya dan seorang lagi peguam Tan Chia Wei akan mendapatkan butiran lanjut kes berkenaan. Kami telah berjumpa dengan pasangan itu dan keluarga mereka pada tengah hari tadi untuk memberi nasihat dan bantuan guaman pro-bono. 


"Selepas mendengar cerita daripada suspek, pandangan saya adalah sekiranya pasangan itu disabitkan bersalah, ia akan membawa impak negatif kepada mereka. 


"Ini kerana mereka disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan, hukuman adalah penjara tidak melebihi dua tahun, manakala orang di bawah 18 tahun pula akan dihantar ke sekolah pemulihan," katanya. 


Walaupun begitu, Puah tidak menafikan perbuatan pasangan muda itu tidak bermoral, tetapi untuk menjatuhkan hukuman penjara adalah terlalu berat. Puah berharap pihak polis akan meneruskan siasatan dan memberi gambaran lengkap berhubung kejadian tersebut. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.