Isu gaji Rider Foodpanda dipotong RM300 selesai, Saifuddin mohon maaf & akui terlepas pandang
Minggu lalu, seorang penghantar makanan Foodpanda mendakwa gajinya dipotong sebanyak RM300 oleh majikan atas sebab-sebab tertentu yang dianggap tidak munasabah.
Luahan Saifuddin Mustofa itu tular di media sosial dan ramai netizen bersimpati dengan nasibnya. Malah, ramai pihak termasuk selebriti dan ahli politik tampil menghulurkan bantuan serta menggesa perkara itu disiasat.
Bagaimanapun, dalam satu pertemuan Saifuddin dengan pihak Foodpanda, akhirnya permasalahan itu berjaya diselesaikan.
"Saya bertemu Foodpanda untuk mendapatkan penjelasan mengapa gaji saya dipotong dan akaun digantung. Semuanya sudah selesai," katanya, namun tidak pula memberi penjelasan lebih lanjut.
Lapor Free Malaysia Today, Saifuddin juga ada membuat video permohonan maaf kepada pelanggan yang tidak mendapat pesanan mereka dan dia mengaku terlepas pandang. Perkara itu disahkan oleh Foodpanda.
Sebelum ini, Saifuddin mendakwa gajinya dipotong sebanyak RM300 yang menyebabkan dia hanya menerima gaji sebanyak RM500 sahaja. Akaunnya turut digantung selama tiga hari, sekali gus membantutkan usahanya untuk menyelesaikan komitmen yang perlu dibayar setiap bulan.
Foodpanda yang menyedari penularan video itu kemudian tampil menjelaskan gaji Saifuddin dipotong kerana beberapa kali gagal menghantar pesanan pelanggan.
Tetapi kenyataan Foodpanda itu dinafikan oleh Saifuddin yang menegaskan dia tidak pernah gagal menghantar pesanan pelanggan.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment