Pengarah syarikat boleh dikenakan hukuman lebih berat di bawah akta baharu

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Jamadilakhir 1438H, Rabu – Mana-mana pengarah syarikat yang didapati bersalah di bawah Akta Syarikat 2016 yang baharu dikuatkuasakan, berdepan tindakan lebih berat iaitu denda sehingga RM3 juta serta hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Akta yang menggantikan Akta Syarikat 1965, berkuat kuasa pada 31 Jan, 2017.

Pengarah Incorp, Kong Ming Enn berkata, pengarah yang menyalahgunakan harta milik syarikat, mengambil kesempatan, menggunakan maklumat bagi kepentingan  kedudukan atau terbabit dalam perniagaan syarikat pesaing, juga berdepan tindakan penalti berkenaan jika sabit kesalahan.

“Denda maksimum RM3 juta itu merupakan peningkatan sebanyak 100 kali berbanding RM30,000 di bawah peraturan sebelum ini,” katanya pada bengkel media mengenai Akta Syarikat 2016 di sini, hari ini. InCorp merupakan syarikat penyedia perkhidmatan kesetiausahaan yang dimiliki oleh Elegant Management Sdn Bhd.

Kong berkata, mana-mana pengarah yang secara sukarela membayar atau meluluskan pengagihan pembayaran yang tidak mengikuti undang-undang, juga boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau penjara RM3 juta atau kedua-duanya.

“Di bawah undang-undang baharu itu, dividen hanya boleh dibayar daripada keuntungan jika syarikat berpuas hati dengan syarat kemampuan itu yang secara amnya berkaitan keupayaan dari segi aliran tunai dan lembaran kira-kira,” katanya.

Jelas Kong, di bawah syarat itu, seseorang pengarah perlu memastikan bahawa firma itu mempunyai kemampuan sejurus selepas pembayaran dividen.

“Sebagai contoh, sesebuah syarikat itu mestilah mampu untuk melunaskan hutang dalam tempoh 12 bulan selepas pengagihan bayaran dividen itu dibuat,” katanya.

Menurutnya, biarpun mesyuarat agung tahunan tidak lagi disyaratkan bagi syarikat persendirian di bawah akta baharu itu, syarikat masih perlu mengedarkan akaun beraudit dalam kalangan pemegang sahamnya dalam masa enam bulan daripada kewangan akhir tahun.

“Mereka yang gagal berbuat demikian akan berdepan denda maksimum RM500,000 atau hukuman penjara kurang setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Penalti lain di bawah akta baharu itu termasuk denda maksimum RM500,000 atau tempoh penjara kurang setahun atau kedua-duanya, jika pengarah terbabit didapati bersalah kerana gagal melaporkan perlembagaan syarikat kepada pendaftar dalam masa 30 hari daripada pelaksanaan undang-undang itu.

Di bawah peraturan baharu itu juga, sesebuah syarikat boleh menggantikan Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) daripada akta sebelum ini sebagaimana yang ditetapkan dalam Perlembagaan (syarikat).

Kong berkata, hukuman lebih berat yang diperkenalkan di bawah akta baharu itu dapat menyuntik kesedaran kepada kalangan pengarah syarikat mengenai tanggungjawab dan tugas masing-masing.

“Ini akan dapat mewujudkan syarikat-syarikat Malaysia yang lebih kompetitif,” katanya.

Menurutnya Incorp juga dijangka mendaftarkan kira-kira 1,000 syarikat permulaan menjelang akhir tahun ini berbanding 300 syarikat pada tahun lepas.

Ini berikutan antara ketetapan akta baharu itu yang membenarkan sesebuah syarikat diperbadankan oleh atau hanya mempunyai seorang anggota.

“Kami juga menyasarkan sehingga 30 peratus daripada pemilik tunggal akan bertukar kepada syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.

Jelas Kong, di bawah akta baharu berkenaan, sesebuah syarikat Sdn Bhd yang mencatatkan pendapatan boleh cukai melebihi RM400,000 akan dikenakan 18 peratus  cukai syarikat manakala pemilik tunggal yang meraih jumlah sama pendapatan perlu membayar 26 peratus daripada cukai itu. – Bernama

The post Pengarah syarikat boleh dikenakan hukuman lebih berat di bawah akta baharu appeared first on Portal Islam dan Melayu.

===========================

PENGUMUMAN: ARTIKEL/BLOG POST INI TELAH DI PUBLISH SECARA AUTOMATIK DARI LAMAN http://ift.tt/2llWBu3 .
Sekiranya anda rasa artikel ini mempunyai unsur LUCAH & SENTIMEN PERKAUMAN atau yang sewaktu dengannya, dan anda merasakan ianya patut di delete/padam dari blog ini. Sila hantarkan aduan/mesej inbox facebook kami iaitu di ADUAN @ http://ift.tt/1YYEtDp



Sumber : PisangBaik

No comments

Powered by Blogger.